Friday 5 April 2013

SOMETIMES

currently written by faie mohamad at Friday, April 05, 2013

Assalamualaikum...

Salam Jum'ah barakah to everyone..

Kadang-kadang untuk membuatkan hati kita lembut kembali, kita perlu diuji. Diuji dengan ujian yang mampu menggoyahkan tembok ego dan membuatkan kita kembali berfikir dan terus berfikir. Sejauh inikah tindakan aku? Mengapa aku langsung tidak sedar rupanya sebegini bodoh aku bertindak? Bukankah ia sudah melampaui batas?

Manusia, jika mula lalai dan alpa dalam sesuatu tindakan, Allah pasti akan mendatangkan sesuatu  sebagai isyarat atas perbuatan yang kita lakukan sebelum ini. Ia sudah cukup membuktikan bahawa Dia tidak mahu hambaNya semakin hanyut dan terperangkap dalam lorong gelap dan dosa yang makin membelit.

Kadang-kadang ada baiknya jika kita diuji dengan ujian kegagalan. Meskipun ia perit, namun untuk menggapai nikmat kejayaan, ia harus bermula dari bawah. Ia harus dimulai dengan 'nikmat kegagalan' terlebih dahulu. Supaya bila kita berada di atas, kita mampu untuk menjengah ke bawah dan melihat kembali betapa getirnya hidup kita dahulu dan membuatkan kita makin menghargai dan bersyukur.

Kadang-kadang ada baiknya kita diuji dengan ujian perpisahan. Ditinggalkan tanpa sebab khusus pasti menyakitkan. Takut untuk melupakannya kerana bimbang tidak akan ada lagi orang sepertinya. Bimbang tidak ada siapa-siapa lagi yang akan mahukan kita selepas dia. Hati diselubungi kesedihan yang berpanjangan hingga menyebabkan diri makin tidak terurus. Ini melemahkan.

Allah tidak pernah menghantar orang yang salah kepada hambaNya. Setiap apa yang diberikan olehNya mempunyai sebab dan tujuan tertentu. Untuk membolehkan manusia belajar bagaimana untuk menghargai yang lain, saling berkasih sayang, memakmurkan kedaulatan ummah. Meskipun yang datang itu adalah musuh, ia bertujuan untuk menguatkan diri, mempersiapkan diri dengan pelbagai cara untuk menentangnya. Bukan untuk membuatkan jiwa makin rapuh dan tidak berdaya. Apatah lagi yang Allah hantar itu adalah orang yang kita perlu kita semai dengan baja kasih sayang. 

Ada baiknya juga jika kita ditinggalkan. Allah hanya mahu kita menjadi seorang yang bijak menilai. Ada baiknya dia datang dalam hidup kita kemudian meninggalkan kita tanpa sebab, dan kemudian datang pula insan lain memberi harapan yang sama. Tetapi kerana kita pernah mengalami pengalaman yang sama seperti dahulu, kita pasti dapat menanganinya dengan lebih baik dan bijak. Sudah pasti kita dapat menilai orang yang seterusnya itu dari kaca mata yang berbeza; samada dia ikhlas atau hanya pandai bermain kata. Sudah pasti ia membuatkan kita menjadi makin kalis dan tidak mudah rebah. 

Kadang-kadang hati berasa gelisah tanpa sebab. Membuatkan kita bertindak diluar logik akal dan pertimbangan yang sepatutnya. Kadang-kadang ia didorong oleh rasa marah yang terpendam dan semakin membuak di jiwa. Terkadang ia disebabkan oleh dorongan perasaan yang tak menentu. Juga kerana ia disebabkan oleh 'unfinished business' yang hanya mampu dipendam tanpa ada siapa yang dapat meneka isi hati didalamnya.

Apabila kegelisahan dan kekecewaan datang menghuni, berilah ruang pada diri untuk bermuhasabah dan berfikir. Ada kalanya adalah petanda dari Tuhan untuk mengingatkan kita dari sesuatu. Mungkin ada perkara yang terselindung tapi tak mampu dihurai dengan makna biasa. Hanya Dia yang mampu menjawab segala persoalan.

Sejenak renungkan kembali.

Boleh jadi kita terfikir, mengapa dalam hidup ini kita tidak pernah merasai kegembiraan yang berterusan? Kenapa hanya kesedihan yang melanda badai hati? Mengapa kita tidak mampu untuk menikmati nikmat bahagia yang dikecapi seperti orang lain? Adakah ia tanda kifarah dosa yang sebelumnya? Mengapa kita?

Allah sentiasa mendidik hati kita untuk bergerak dan mencapai redhaNya yang satu. Mana mungkin Dia membuatkan hambaNya menangis tanpa henti atas pelbagai masalah yang tidak putus? Disebalik kesedihan itu, pasti ada kebahagiaan yang terselit. Cari lah ia dalam kamus takwa dan tawakal.

Manusia tidak akan mempunyai apa-apa selain daripada pengalaman hidup. Kita tidak memiliki apa-apa pun selain itu. Justeru jika datang ujian yang melemahkan, mengapa kita juga harus lemah? Mengapa tidak dilawan dan menjadikan ia pengalaman paling indah?

Sekadar berkongsi.



source: tumblr


“If Allah knows (any) good in your hearts, He will give you (something) better than what was taken from you.” [8:70]

 

She's Farihah Mohamad Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea