Suatu ketika dulu,
Gambar yang terpapar di Facebook itu jelas membuatkan jantungnya seakan berhenti berdegup. Jantungnya seakan-akan mati buat seketika. Terasa dunia ini kosong tanpa suara. Hancurnya hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Tidak pernah dia merasai peritnya perasaan ini sedemikian rupa. Luluh hatinya melihat kemesraan yang jelas terpampang di depan matanya. Selama ini dia hanya mendengar khabar angin tentang kemesraan si dia dengan seorang gadis. Hatinya pantas meragui namun cepat-cepat dibuang rasa was was itu. Dia tidak mahu kerana fitnah itu dia menghukum si dia atas bukti yang tidak pasti. Nah, secara tidak sengaja, hari ini Allah membuka hijab sedikit demi sedikit. Gambar yang penuh mesra di upload ke Fb milik si gadis tanpa si dia sendiri mengetahuinya.
Menangis lah air mata darah sekalipun, menyesal lah sehingga tidak keluar suara sekalipun, tetap takkan dapat mengembalikan kenangan dulu. Hatinya sudah seakan-akan hancur. Beku dalam dunia yang diciptanya sendiri. Berbulan-bulan lama menangisi kecurangan si dia yang tidak tahu menghargai. Memang selama ini dia bodoh. Sangat bodoh. Tenggelam dalam cinta tanpa ikatan yang sah. Berbangga bila hatinya dimiliki oleh seseorang yang kononnya sangat memenuhi kriteria idamannya. Tanpa dia sedar, si dia hanyalah menguji.. penuh sandiwara. Penuh kepalsuan kata.
Kiriman sms dari si dia beberapa ketika dulu sudah cukup membuatkan dia amat membenci lelaki itu. Alasan bodoh!
'Salam... Awak, maafkan saya. 'K' memang makwe saya. Sudah lama kami kenal. Sebelum saya kenal awak lagi. Saya pun agak terkejut bila dia upload gambar itu tetapi ada baiknya juga sebab sampai bila kami harus berselindung. Mungkin antara kita tiada jodoh. Carilah orang lain yang buatkan awak lebih happy. Maaf sekali lagi. Salam''
Luluh hatinya bila membaca bait sms yang tertulis. Betapa terseksanya dia menanggung derita akibat dicurangi. Tidak pernah dia berperasaan sedemikian rupa. Terfikir kadang-kadang, apa dosa dia diuji sebegitu. Tidak layakkah dia mendapat cinta dari seorang lelaki yang tulus mencintainya tanpa syarat? Masih ada kah lelaki sebegitu di dunia ini? Mengenangkan hal itu, air matanya bergenang. Andai itu yang ditakdirkan untuknya, dia pasrah.
Suatu hari, dia diajak menghadiri sebuah usrah oleh temannya. Meskipun hatinya agak berat kerana ini kali pertama, tetapi memikirkan jika usrah ini mampu melenyapkan kesedihan yang dialaminya, dia akur. Dia terfikir, andai kesedihan yang dialaminya ini adalah kifarah dosa yang pernah dilakukannya, dia reda.Dia mahu memantapkan akidah dan imannya terhadap Dia yang satu. Cukuplah dia menangis, sudah tiba masa untuk dia tersenyum kembali.
Dalam sesi usrah itu, naqibahnya (ketua usrah) tiba-tiba mengajukan persoalan kepadanya. Satu soalan yang cukup menarik. Lebih menjurus tentang keadaan dirinya.
''Ukhti, apa pendapat saudari tentang 'couple'?''
Err.. apa aku nak jawab ni, bisik hati kecilnya. Jawab je lah. Seraya dia berkata,
''Ermmm... couple yang macam mana tu?'' Dia bertanya. Inginkan lebih kepastian.
Kata naqibah itu, ''Maksud saya, bolehkah seorang lelaki menjalinkan hubungan dengan seorang wanita tanpa ada hubungan yang sah? Saling menelefon, bertanya khabar, berSMS, dan keluar? Tapi mereka tidak pernah berpegang tangan apatah lagi melakukan yang lebih berat. Mereka hanya berhubungan begitu je.''
Dia berkira-kira dalam diri. Dulu pun sebelum clash dia pun begitu. Walaupun tidak sampai kepada zina tetapi mereka saling menelefon, berjumpa dan berSMS. Tak salah kot. Spontan dia membalas,
''Hmm.. Menurut saya, tiada salahnya kalau kita couple asalkan kita tahu menjaga batas diri. Tak salah kalau kita saling berhubungan asalkan kita tidak bersentuhan dengan dia dan tidak berdua-duaan dengannya ditempat gelap..''
Naqibah itu tersenyum.
''Ukhti, mari akak jelaskan. Walaupun seseorang itu mengatakan kononnya dia tidak bercouple sekalipun, hanya berSMS, bercalling sampai larut malam, keluar bertadarus berduaan di masjid sekalipun, saling bertazkirah di RFC, tetapi hukumnya tetap HARAM. Kerana kita telah mencampur-adukkan cinta manusia tanpa ada ikatan yang sah. Walaupun mereka menafikan bahawa mereka boleh mengawal nafsu, tapi mana mungkin jika saling berduaan itu tiada yang ketiga?'
Naqibah itu terus menyambung, ''Walaupun kita boleh mengawal emosi dan tidak mahu terlibat dalam zina hati, syaitan itu dicipta sebagai makhluk yang kreatif . Kalau dia boleh membuatkan bapa kita Adam dihalau ke syurga, apatah lagi kita yang hanya insan biasa ini? Selagi kita tidak mengikut jejak langkahnya selagi itulah dia akan sentiasa mencari peluang menyesatkan kita. Mahukah kita membuat Allah berasa cemburu dengan kita kerana kita lebih ternanti-nanti sms dan panggilan si dia berbanding membaca surat cintaNya yang penuh kemanisan itu. Saat untuk kita membalas panggilanNya 5 waktu sehari, hati kita disibukkan dengan ungkapan cinta dari si dia yang tak berhenti-henti mengharap.
source: here
''Cinta dan hati yang hanya wajar diserahkan untuk insan yang halal sahaja telah kita sewenang-wenangnya beri kepada si dia yang belum tentu menjadi milik kita. Bagaimana kalau lepas ini dia meminta putus dengan kita dan dengan bangganya menayangkan awek barunya kepada kita? Hendak marah, dia bukan milik kita. Kita memang tidak mempunyai hak keatasnya...''
''Jadi, adakah hak kita untuk mengatakan couple dalam Islam dibolehkan? Islam adalah agama yang indah. Apa yang dilarang tentu mempunyai sebab musababnya. Allah lebih tahu keperluan kita berbanding kita sendiri. Maha Suci Allah yang Maha Penyayang. Andai kita tahu ia adalah untuk kebaikan kita, pasti hati kita akan mudah lentuk keranaNya.''
Spontan air matanya bergenang. Tanpa sedar esakan kecil kedengaran. Semakin lama semakin kuat. Serentak semua mata memandang kearahnya.
''Eh, kenapa menangis?'' Akak naqibah itu kelihatan agak cemas. Terasa bersalah barangkali. Suasana usrah menjadi kelam kabut. Ada yang saling berbisik.
'Akak tak maksudkan ukhti. Memang akak ada tanya ukhti tentang couple tapi akak tak berniat nak lukakan perasaan ukhti. Akak mintak maaf. Tujuan akak tanya ukhti sebab topik kita hari ini kan atas tajuk Karakter Muslim yang Sejati. Sebab itu akak sengaja timbulkan persoalan ini. Asif, ya ukhti. Akak memang tidak bermaksud...'' Naqibah itu mengenggam erat tangannya.
Segera dia menyapu air matanya. Dia sudah tidak peduli lagi akan mata yang memandang dan bisik-bisik kecil di sekelilingnya. Hatinya diselubungi rasa sesal yang teramat sangat.
''Tak mengapa kak. Saya tak ada apa-apa. Cuma mungkin saya emo sikit. Peristiwa silam saya, memang perit tapi akhirnya saya tahu sebab kenapa Allah memberikan saya kesedihan begini..'' Dia membalas, cuba tersenyum walaupun hati cuba berkata tidak.
Allah telah menghantarnya mengikuti usrah itu semata-mata untuk menyedarkannya. Menghiburkan hatinya yang sedang berduka. Membuka hati naqibah itu untuk bertanyakan soalan itu kepadanya. Segera dia menginsafi diri. Betapa jahilnya dia kerana selama ini dibutakan dengan couple yang konon Islamik itu. Betapa malunya dia bila teringat akan jawapan yang diberi kepada naqibah itu kerana beranggapan bahawa couple dibolehkan asalkan tidak melanggar batas syarak. Betapa hinanya diri kerana cuba menghalalkan perkara yang sememangnya haram. Betapa kerdilnya dia disisiNya. Astaghfirullahalazim.
Kini,
Baru dia mengerti. Baru dia belajar untuk tersenyum kembali. Luasnya rahmat Allah hanya Dia sahaja yang tahu. Disaat dia berduka, Allah datangkan hikmah sedemikian rupa. Betapa rapinya perancangan Allah padanya. Dia tidak lagi menyesal. Tidak lagi menangis kecewa atas takdir yang menimpa. Begitu pun hatinya tekad. Cintanya hanya dilafazkan untuk Yang Maha Esa. Biarlah Dia yang menentukan siapa Adam yang layak mengisi ruang hatinya.
Baginya, walaupun hati itu terkandung dalam ruang jasadnya, hakikatnya hati itu Allah yang memegangnya. Itu hanya pinjaman. Tidak akan kekal sampai bila-bila.
Allah menegur kita melalui pelbagai cara. Dia jualah yang Maha Memahami setiap hati-hati kita.
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakannya, Allah pasti mengetahuinya dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(Surah Ali'Imran. Ayat 29)
Jodoh itu rahsia Allah. Walau selama mana pun kita menunggu, sehebat mana kita merancang, sekuat mana nilai kesetiaan kita padanya, tetap Dia yang menentukan. Hanya Dia yang mampu mencoret perjalanan hidup kita.
Selak balik entri lama. Mungkin ini lah sebab kenapa coupling sebelum nikah tidak halal dalam Islam. Islam mendidik umatnya dengan penuh kasih. Jalan mujahadah yang terbentang luas menuju ke syurga Firdausi. Besarnya rahmat Allah. Subhanallah.
p/s: Kalau dah couple tu, tak perlu la putuskan. Wat seksa jiwa raga je. Nikah je terus. Habis cite.
1 criticisms:
Memang jodoh rahsia Allah :) tapi kena pilih yang baik...tengok agamanya dulu :)
Post a Comment