Sunday, 24 July 2011

jika kita dibenci...

currently written by faie mohamad at Sunday, July 24, 2011


assalamualaikum =)
 
Dalam hidup ini terkadang kita terlalu mengagungkan insan yang kita anggap sebagai kawan di hadapan, walhal dialah musuh dalam diam. Dan adakalanya kita membenci orang yang kita anggap sebagai musuh padahal dialah yang bakal menyumbang bakti kepada kita kelak. Seringkali juga kita tersilap tafsir akan keperibadian seseorang individu yang sebelum ini menjadi buah mulut orang tanpa kita sempat menyelami isi hatinya sebenar. Tanpa sedar, kita terus menghukum dan mencercanya tanpa satu alasan munasabah. Melontarkan hujah bicara memang mudah, tapi buat mereka yang ditujukan itu, adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan dan diungkapkan.


Begitu juga dalam muamalat sesama manusia sehari-hari. Ironinya kekurangan dan ketidaksukaan kita akan sesuatu benda seakan menjadi isu. Saban hari bila berhadapan dengan mereka yang mempunyai pelbagai sifat dan karakter yang kadang kala menguji kesabaran dan ketahanan jiwa, kita mungkin terlepas cakap atau tersalah bicara dimana tanpa disedari ia telah menghiris hati dan membuatkan mereka menyimpan dendam pada kita. Dek kerana kesilapan kecil, kita menjadi mangsa di atas mulut dan perlakuan sendiri. Walaupun berjuta doa dan jasa dihulurkan, namun atas satu kesilapan yang dibuat, kita dibenci dan dibuang jauh2 dari hidup mereka. Itu adalah lumrah, kerana orang akan lebih mengenang keburukan kita berbanding kelebihan yang kita hulurkan kepada mereka. Seribu kebaikan yang disemai, hanya dengan satu keburukan yang terserlah, sudah cukup membuatkan kita dikecam.

Adakalanya hati kita berdetik, apakah usaha dan budi yang kita hulurkan ini hanya satu sia2?

Dan terbit satu justifikasi, adilkah begitu?

Solusinya, anggaplah bahawa itu semua adalah kekurangan dan kekhilafan dari diri sendiri. Kita tidak mampu menutup mulut2 jahat yang selalu melukai hati, tapi kita mampu untuk berbicara dengan diri sendiri. Ini adalah satu ujian. Ujian dari Allah untuk hambaNya. Untuk menilai sejauh mana kita mampu merentasi ujian itu dengan jayanya. Kita tidak akan mati dengan umpat keji orang lain, dan kita juga tidak akan selama-lamanya hidup dengan pujian dan penghargaan mereka.

Walaupun ada ketika yang sangat kritikal untuk kita bertahan dan katakan… tidak ada keadilan yang mutlak didunia ini. Keyakinan terhadap hari akhirat akan menyebabkan kita kuat menghadapi tipuan dunia. Keimanan kepada Tuhan akan menimbulkan rasa sabar menghadapi kerenah insan.

Rasionalnya ini semua mampu mentarbiyahkan diri kita sendiri. Berhati-hati di masa hadapan yang kita sendiri tidak tahu bagaimana perjalanan hidup kita. Samada lurus atau berliku2. Kita mampu mengubahnya kerana kita diberi akal yang tidak ternilai untuk mencari jalan pulang, kembali kepada nilai diri kita yang sebenar. Walaupun takdir sentiasa mengatasi segala tadbir, tetapi itulah didikan Allah yang kekadang 
tersembunyi dari pengamatan fikiran biasa. Sentiasalah bersangka baik denganNya.

Contohilah rasul junjungan kita, tujahan batu2 dan lemparan najis oleh kaum musyrikin dibalas dengan kalungan doa dan untaian budi.

Memaafkan orang lain bererti memaafkan diri sendiri. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci mereka yang melukaimu. Pujuklah hatimu tatkala melihat musuh-musuhmu bahagia diatas kedukaanmu. Biarlah kebahagiaan itu didapati melalui keredhaanNya, bukan melalui tangisan penderitaan insan lain. Kerana itu yakinlah bahawa Allah adalah penyusun takdir yang terbaik. Dia tidak akan sekali2 menzalimi hambaNya yang selalu dekat padaNya.

Jangan berhenti untuk terus memberi walaupun diri terus dicerca. Bukankah tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima?

1 criticisms:

Nurul Syuhadah said...

nice entry sis..:)

 

She's Farihah Mohamad Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea