Ini
sebuah kisah. Kisah benar yang terjadi dalam hidup aku. Ia sebuah memori yang
tak terpadam. Bahkan aku akan sentiasa merindui saat itu.
Teringat
kembali memori ketika aku menjejakkan kaki ke universiti itu. Tatkala itu aku
masih lagi naïf, belum lagi mengerti apa-apa tentang kehidupan seorang siswi
yang bakal melangkah kealam dewasa. Segalanya menjadi satu; sedih, gembira,
teruja bahkan tidak sabar untuk bergelar seorang pelajar universiti. Ingin
sekali aku merasai pengalaman belajar di bilik kuliah, ke perpustakaan
bersama rakan, menyiapkan assignment dan
presentation,berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, bahasa yang cukup asing untuk
aku yang bergelar anak kampung. Segalanya masih baru untuk aku. Bukan senang
untuk mengadjustkan diri, berkenalan dengan rakan-rakan yang berlainan negeri,
bahkan bangsa dan warna kulit. Pengalaman berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris
bersama kawan-kawan foreigner, suatu perkara yang cukup indah walaupun agak
melucukan. Ia laksana ayam dan itik berbual sesama sendiri. Lain yang dibicarakan lain yang difahami. Tapi itu lah,
bila dikenang kembali ia seolah-olah semalam baru berlaku. Meskipun agak kecewa
kerana tidak dapat masuk ke kuliah waktu semester pertama, Alhamdulillah
sekurang-kurangnya ia mempertemukan aku dengan mereka yang cukup memahami
dan sporting. Allah Maha Besar.
Teringat
juga semasa zaman first year dulu. Akak
study circle yang menjadi naqibah untuk halaqah 1 telah mempelawa aku join
usrahnya bersama teman seperjuangannya. Usrah yang juga dipanggil bulatan
gembira. Aku diperkenalkan dengan budaya baru; makan dalam satu talam berkongsi
dengan beberapa rakan yang lain sambil menyuapkan makanan kepada orang sebelah,
berkongsi cerita samada peribadi atau isu semasa kemudian membincangkan secara
ilmiah melalui pengajaran-pengajaran yang mengandungi unsur tersirat, isu-isu
semasa seperti perang di Iraq, Syria mahupun Palestin. Menariknya dalam
ramai-ramai anggota usrah itu, aku yang menjadi perhatian kakak tersebut.
Biarlah aku menamakan dia Kak Aufa. Usai kelas halaqah, Kak Aufa telah
memanggil aku dan menyatakan hasrat dia untuk mengadakan usrah secara
persendirian, yakni hanya aku dan dia. Dia juga selalu mencari aku untuk
menyertai usrah sahabat-sahabatnya yang lain di sekitar SHAHS Mosque dan
memperkenalkan aku kepada mereka. Mereka menyambut kedatanganku dengan penuh
mesra dan sukacita. Sebagai seorang budak first year, mendapat peluang itu
adalah ibarat suatu pengiktirafan. Seolah-olah aku terpilih dalam kalangan
mereka yang lain oleh dia. Katanya, aku mempunyai potensi yang besar untuk
menjadi naqibah sepertinya suatu hari nanti. Bahkan lebih hebat dari itu. Aku hanya mampu tersengih, walhal dalam hati
betapa aku yang hina ni tetiba dipandang sebegitu olehnya. Kalau lah dia tahu
perangai gila-gila aku ni yang sebenar. Iskk
Saban
hari pelbagai sms masuk dalam inbox handphone aku untuk sesi usrah. Adakalanya
dia memberitahu aku supaya datang menemuinya di surau Asiah bagi membincangkan
sesuatu isu. Hanya kami berdua. Kadangkala aku mempelawa rakan yang lain untuk
menambah suasana. Dan memandangkan aku menetap di Mahalah Maryam waktu itu, aku
menyatakan persetujuan. Kalau tidak di
Asiah sekalipun, dia sanggup datang dari Hafsah ke surah Maryam semata-mata
untuk bertemu dengan aku. Isu yang dibincangkan banyak. Sangat banyak. Apa yang
aku boleh simpulkan disini ialah rupanya terlalu banyak masalah umat yang aku
langsung tidak ketahui. Tentang taktik atau strategi zionis dalam menghancurkan
Islam. Kisah-kisah para sahabat yang belum pernah kedengaran dan kepentingan
membaca buku yang menjadi tunjang kepada ilmu untuk sejagat. Dari situ aku
disuruh membanyakkan pembacaan daripada menonton sebarang rancangan televisyen
yang hanya mengandungi hiburan semata, bermuhasabah diri dan selalu bertafakur
akan kebesaran Allah. Segala nasihatnya aku genggam. Aku semat dalam dada. Banyak
rupanya yang aku belajar darinya. Syukur pada Tuhan.
Dalam
diam aku amat mengagumi naqibah aku yang seorang ini. Walaupun hanya 2 bulan
mengenalinya, aku dapat mentelaah perilaku serta karakter muslimah yang
terselindung disebalik tudung labuhnya. Dia yang aku kenal seorang yang sangat
sopan santun, penuh dengan sifat keibuan, nasihatnya ibarat seorang kakak
kepada adik, penuh mendidik dalam kesantunan. Dan dia banyak sekali menasihati
aku supaya menjaga perisai diri sebagai seorang muslimah yang sejati. Masih
terngiang-ngiang di telinga ini tentang nasihatnya supaya menjauhi budaya
couple, peka dengan isu ummat semasa, kisah para anbia yang memotivasikan serta
banyak lagi. Juga nasihat supaya aku menggunakan peluang belajar di taman ilmu
dan budi ini sebaiknya. Kalau boleh mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat
luar akan apa yang aku pelajari samada secara langsung atau tidak langsung. Seandainya
semua aku catit dalam buku nota, aku rasa boleh boleh dibukukan dan dijilid.
Terlalu banyak. Dia menjadi idola aku waktu itu. Aku memikirkan alangkah
bertuahnya lelaki yang memperisterikannya. Dengan kelembutan dan sifat
solehahnya itu, pemuda mana yang tidak berkenan dan menyunting sebagai
bidadari?
Namun,
segalanya berubah sedikit demi sedikit bila aku mula melangkah ke tahun kedua.
Waktu itu komitmen aku kepada kuliah dan aktiviti lain sangat tinggi. Assignment,
presentation, menyiapkan report itu ini, belum lagi termasuk article review
yang menjadi tugasan wajib untuk hampir setiap subjek. Padat memenuhi jadual
harianku. Setiap sms yang dihantar olehnya kepadaku tidak aku hiraukan. Bahkan
setiap kali dia call,aku akan menutup panggilan itu. Bagi aku, dia sangat
membosankan dan tidak lain tidak bukan hanya mengajak aku menyertai usrah.
Seolah-olah tiada benda lain yang perlu dibuat di dunia ini. Usrah, usrah,
usrah. Aku seolah-olah muak dengan perkataan itu. Bukan aku membenci usrah
tetapi kenapa selain usrah dia tidak mengajak aku menyertai aktiviti lain yang
lebih menghiburkan tetapi dalam masa yang sama mempunyai nilai-nilai murni.
Jungle trekking atau sukan misalnya. Waktu itu aku menerima hasutan dari
syaitan yang tidak putus-putus memberikan gambaran buruk tentang dia. Segalanya
bermula dengan satu kisah.
Masih ku ingat tentang pertanyaanku kepada Kak
Aufa tentang artikel mengenai pendapat seorang bekas Muslim yang membentangkan
bukti serta hujah dia tentang hinanya Islam. Bagi aku artikel yang memburukkan
Islam itu adalah sangat keji dan aku memerlukan penjelasan kukuh dari mereka
yang arif untuk membalas balik hujah itu, meskipun ia hanya mampu terlontar
jauh dari hati. Aku printkan artikel tersebut lantas menunjukkan kepadanya dan
memintanya supaya mentakrifkan perihal tersebut dan menjelaskan secara
terperinci tentang hujah yang boleh dibalas balik andai suatu hari nanti aku
dipertemukan dengan orang seperti bekas Muslim terbabit. Namun apa yang
mengecewakan, Kak Aufa tidak menjawab segala persoalan tersebut dan menyuruh
aku membuangnya. Katanya perkara sebegini tidak perlu dibahaskan kerana memang
benar Islam itu agama benar dan sudah ternyata bekas Muslim itu mahu
memutarbelitkan fakta tentang kebenaran Islam.
Jawapan
yang diterima agak menghampakan aku. Aku bukan mahu membenarkan artikel
tersebut jauh sekali mempertikaikan tentang kebenaran Islam. Aku hanya mahukan
sebuah jawapan dan solusi yang tepat dalam permasalahan ini. Bagi aku kalau dia
tidak boleh menjawab tentang isi kandung artikel tersebut, dia tidak perlu
memansuhkan dan menyingkirkannya terus. Siapa tahu selepas ini ada yang
bertanyakan soalan yang sama? Pada aku usrah itu adalah untuk menjawab
persoalan dan mengaitkannya dengan isu semasa disamping memberi gambaran
tentang kebesaran Ilahi. Andai persoalan itu disingkirkan terus dan tidak mampu
dijawab, apa gunanya lagi usrah tersebut?
Dari
situ aku mula mencipta jurang dengannya. Aku jarang membalas sms nya yang
mengajak aku berusrah seperti dahulu. Setiap kali dia menelefon, aku
membiarkannya tidak berangkat. Aku tahu dia berkecil hati. Dia memendam rasa
pada adiknya yang seorang ini. Baginya aku sudah berubah. Segala apa yang
dinasihatinya suatu ketika dulu seolah-olah aku lupakan terus. Lontaran nasihat
keibuan yang dulunya bertubi-tubi dilemparkan kepadaku seolah-olah terpadam
sama sekali. Bicaranya yang dulu bagi aku penuh dengan kelembutan seolah-olah
tidak kedengaran. Aku tidak membencinya jauh
sekali melupakannya. Cuma bagi aku waktu itu dia seorang yang syadid. Manakan
tidak bila dia melihat kawan-kawanku yang berpakaian biasa, memakai jeans dan
t-shirt, tidak seperti dirinya yang bertudung labuh dan berjubah, dia
seolah-olah menunjukkan ekspresi yang tidak sepatutnya. Riak masam dan terus
menundukkan diri sehingga mereka berkecil hati. Sekali lagi aku rasa
tersinggung. Bagi aku dia tidak patut mempamerkan sifat sebegitu. Pada hemat
aku, wajarkah orang sepertinya hanya bergaul dengan mereka yang berjubah or
berniqab sahaja? Bagaimana dengan yang free hair, bertudung singkat atau bebas
bersosial? Bagaimana nasib mereka nanti tanpa pentarbiahan yang secukupnya?
Tidak berdosakah kita sebagai orang Islam membiarkan mereka terkapai-kapai
sendiri?
Sekali
lagi aku mula memandang enteng pada golongan sepertinya. Meskipun tidak semua
yang berkelakuan sepertinya, bahkan dikalangan sahabatku masih ramai lagi yang
bertudung labuh tetapi meraikan mereka yang bertudung biasa seperti kami dengan
penuh rasa cinta dan kasih seperti saudara. Melayan kami seperti sahabat yang
lain tanpa mencipta jurang yang tidak sepatutnya. Pada aku golongan sebegitu
hanya syok sendiri. Mereka merasakan mereka telah solehah sepenuhnya dan
dijamin mendapat syurga yang belum tentu layak diduduki. Walhal mereka langsung
tidak menjaga hubungan yang baik sesama manusia, sesama akhawat yang wajib bagi
mereka menyebarkan dakwah Islam. Hanya memandang orang lain sebelah mata dan
merasakan diri mereka cukup bagus kerana sudah melaksanakan syariat Allah yang
termaktub dalam surah An-Nur. Pada aku, Allah mungkin redha pada tatacara
pemakaian mereka, tetapi mungkin tidak pada akhlak mereka. Titik.
Tempoh
aku menjarakkan diri dengannya sangat lama. Sehinggalah dia grad ketika aku
masuk tahun kedua, kami langsung tidak bersua muka. Sampai sekarang. Walaupun jarak tempat kelahirannya tidak
begitu jauh dengan tempat kediaman aku sekarang. Waktu itu aku tidak memikirkan
tentang dia. Kadang-kala datang rindu bertamu untuk berusrah seperti dahulu.
Berada dalam satu bulatan, membaca akhbar Islami yang diperolehi dari internet,
mencari bahan bacaan tentang kisah para Rasul dan sahabat untuk dibentangkan,
makan dalam satu talam yang dulunya agak janggal dan kekok bagi aku, serta
menceritakan masalah peribadi kepada mereka. Seolah-olah aku didengari dan
dihargai. Namun dek kerana ego, aku cuba menidakkan perasaan rindu itu sendiri.
Bagi aku, baik aku mencari group usrah yang lain yang lebih terbuka mindanya
dan lebih mendatangkan keseronokan kepada aku, sebagai seorang yang jahil mahu
mendalami tentang Islam, agama yang menjadi peganganku sejak lahir.
Namun
lama kelamaan bila aku sudah grad, setelah hampir tiga tahun, akhirnya aku
mengaku yang aku sangat merindukan kakak aku yang seorang ini. Rindu akan
nasihat yang penuh mendidik, setiap kata-katanya mampu meresap dalam segenap
urat jiwa, rindu akan kelembutannya menasihati aku tentang itu ini walaupun
sebelum ini kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Akhirnya
aku sedar tentang semua ini. Bila aku bermuhasabah kembali, aku akhirnya sedar aku
banyak berprasangka buruk dengannya. Setelah membaca artikel demi artikel dan
termotivasi melalui pembacaan yang aku cari dari internet, akhirnya aku sedar
akan sesuatu. Bukan dia sengaja tidak mahu membincangkan tentang artikel yang
pernah ditunjukkan kepadanya. Mungkin dia ingin memberikan jawapan, cuma
sebagai seorang Islam yang sedang dalam proses pencarian sebuah ilmu, dia mungkin kekurangan pengetahuan
tentang itu. Dia tidak berani membahaskan hukum. Bila diasak dengan hukum feqah
terbabit dia tidak mahu mengambil risiko tersalah memberi hukum. Mungkin dia
mengambil iktibar daripada kata-kata Ibnu Mas’ud:
‘Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan
yang diajukan kepadanya orang gila’
Dan
mungkin ada sebabnya kenapa dia seolah-olah tidak menyukai sahabat-sahabatku.
Walaupun dulu aku selalu mempersoalkan tentang itu, tetapi kemudian aku
berfikir, mungkin dia tidak mahu aku terpengaruh dengan mereka. Cuma mulut
tidak berani mengeluarkan sebarang kata. Cukup ia hanya terluah di dalam hati.
Dan Alhamdulillah, mungkin kerana doa yang selalu dipanjatkan olehnya, aku
kembali menyedari tentang hakikat itu. Ingin berjumpa dengannya seperti dahulu,
aku malu. Seribu penyesalan datang menghantui. Sehingga saat ini.
Hanya
doa yang mampu aku pinta agar andai suatu hari nanti aku bersua dengannya, aku
mampu menjadi adik kebanggaannya. Walaupun aku banyak khilaf, kadangkala
tersasar arah tujuan dek kerana tujuan hidup yang tidak berapa kukuh, aku
berharap suatu hari nanti bila dipertemukan kembali dengannya, aku memandangnya
dengan gembira dan mengucapkan terima kasih atas semua yang diajar olehnya. Aku
banyak terhutang budi dengannya.
Ingin
sekali aku mengungkapkan perkataan maaf kepadanya. Ingin sekali aku mengatakan
kepada dia,
‘Kak Aufa, saya minta maaf. Selama ini saya kuat
berprasangka terhadap kakak. Walhal kakak adalah insan mulia. Maafkan atas
kekhilafan adikmu ini.’
Semoga
dia sihat-sihat sahaja dan sejahtera selalu. Doa dipohon agar dia selalu berada
didalam lindungan kerahmatan dan nur Ilahi yang sentiasa bersinar kepada hamba
yang sentiasa ingin mencari cinta dan keredhaan Maha Pencipta.
0 criticisms:
Post a Comment