Saturday, 26 October 2013

Dalam hati siapa yang mengerti?

currently written by faie mohamad at Saturday, October 26, 2013
Assalamualaikum...



Apa yang dilihat secara luaran tidak semestinya menggambarkan apa yang terpendam. Kadang kala ia jauh menyimpang dari apa yang kita sendiri rasa walau pun kadang-kadang ia membenarkan apa yang naluri bicarakan. Terkadang hati tertanya, perlukah kita menayangkan segala isi hati kita kepada setiap insan? Perlukah kita untuk sentiasa menyembunyikan kesedihan dan kelemahan emosi kita pada mereka? Haruskah dicanangkan kepada semua orang tentang apa yang terpendam?

Bukan bererti kita perlu menjadi seorang yang hipokrit atau berpura-pura, namun ada kalanya tidak semua perkara harus diluahkan. Hidup kadang perlu diprivatekan. 

Kerana dalam diri kita tercipta satu organ yang sangat berharga dan kompleks. Hati. Kadang kala kita sendiri tidak mampu mengukur dan menilai kedalaman hati sendiri, inikan pula orang lain. Sedangkan kita sendiri sukar untuk menurut kata hati, inikan pulak memaksa orang lain mengikut kata naluri dari hati sendiri. Ia sebuah organ yang tercipta untuk segala jenis perasaan manusia. Rasa sukacita, sedih, kecewa, stres, mahupun dendam amarah, semuanya tercipta dari hati. Hati yang kadang kala remuk kerana disakiti akhirnya bercantum kembali saat kebahagiaan menghampiri, biarpun cantumannya tidak mampu untuk menampalnya sesempurna yang asal.

Kerana pemilik hati-hati itu hanya Dia. Allah Yang Maha Besar.

Boleh dijaminkah saat kita gembira orang lain juga sedang mengecap kegembiraan dan tersenyum ketawa? Adakah ketika dia bersedih orang juga turut bersedih atas kehilangan dan kecelaruan? Andai kita tahu kegembiraan yang dirasai itulah merupakan titik kesedihan bagi seorang insan. Seandainya kita mengerti bahawa kesedihan yang tercipta itu merupakan titik tolak dari episod kebahagiaan seseorang. Andai kita tahu.. 

Bahagia kadang kala tidak mampu diukur mahupun dinilai melalui perbuatan dan kata-kata. Tidak cukup dengan sebuah ekpresi muka yang terbit dari hati, dalamannya belum tentu lagi hatinya benar-benar sedang berbunga. Terkadang dia hanya bisa melafazkan, tetapi untuk menghayatinya dan menunjukkan rasa bahagia itu kadang kala dia tak mampu. Hanya Dia yang mampu menilai.

Jiwa yang sedih juga tidak dapat diekspresikan melalui air muka dan perbuatan semata. Ada insan yang suka menyembunyikan rasa duka itu dengan menayangkan segaris senyuman yang terukir dan berpura-pura pandai mencipta suasana gembira, walhal dalam hati siapa yang tahu. Pura-pura membuang rasa sedih itu dengan bergelak ketawa dan membuat lelucon didepan khalayak semata-mata tidak mahu dianggap lemah dan tidak kuat. Juga sedaya upaya untuk menggembirakan hati mereka yang tersayang dengan memberikan segala kemahuan, walaupun jauh di sudut hati dia sendiri tidak pernah menerima dan mendapat kemahuan tersebut.

Tiada siapa mampu menyangka, disebalik senyuman yang terukir itu tersembunyi duka yang pedihnya tidak terlihat dek mata kasar, tapi  kesan mampu menggoyahkan sebuah jiwa. Tiada siapa yang menduga disebalik mimik muka yang tergambar kita sebenarnya sedang menyembunyikan sebuah luka.

Kita ingin menangis. Ingin sekali dikhabarkan kepada seluruh isi dunia betapa sakitnya ia, namun kita tidak mampu. Takut diketawakan.

Sebab hidup ini adalah lumrah. Bukan semua yang menjadi kemahuan itu bakal diperoleh. Tidak semua kesakitan itu benar-benar menyakitkan, bahkan ia sebenarnya ia lah penawar yang selama ini di cari. Namun dek kerana ia terselindung di sebalik sebuah jelmaan hodoh dan mengerikan, tidak ramai yang ingin menghampiri. Boleh jadi rupanya ia lah permata yang tersembunyi dibalik timbunan jerami dan hanya mereka yang terpilih mampu menjumpai.

 Apapun, kembali lah pada Dia yang Maha Satu. Andainya kita tahu bahawa Allah sudah cukup untuk kita, sudah pasti rasa pilu itu membuah ceria. Pasti rasa senyum itu mengintai setiap saat. Kerana hanya Dia lah tempat untuk mengadu, meluah rasa dan menyerahkan diri untuk setiap detik.

Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”-Ali Imran:173

Jika itu yang dijanjikan olehNya. Pasti rasa tenang itu segera menyelinap dalam diri. Pasti rasa resah gelisah itu segera menghindar. Dan juga pasti Allah menghantarkan seseorang untuk membuat diri terasa tenang dan aman. Kerana Dia lah sesungguhnya Yang Maha Penyayang.

Allah memberikan kita ujian agar kita bertambah teguh. Untuk membuatkan kita kembali mengenanginya sebagai satu-satunya Pencipta di atas muka bumi ini. 

'Ingatlah Aku maka Aku akan mengingatimu..''-Al-Baqarah:152


# Dan seandainya suatu hari nanti kamu tidak tahu kemana ingin mencari, andai suatu hari nanti tiada sesiapa ingin memberikan telinga untuk ditadah, khabar kan saja kepadaku bila-bila masa. 

Aku ada.

0 criticisms:

 

She's Farihah Mohamad Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea