Thursday, 12 December 2013

Cinta boleh lenyap dengan lenyapnya sebab

currently written by faie mohamad at Thursday, December 12, 2013 1 criticisms
‘’Lelaki high class jika dijadikan suami, lebih berpotensi untuk setia menjaga kepercayaan saya kelak. Tiada kecurangan. Tiada pembohongan. Mudah-mudahan. Dia maha memakbulkan. Sekali suami didapati temberang, bukan mudah bagi seorang isteri untuk memulihkan kepercayaan…’’

‘’Selagi saya setia menjaga cinta, selagi itu si dia sedang setia. Saya percaya pada keadilanNya. Saya hadiahkan doa buat bakal suami yang entah dimana dengan bacaan Al-Fatihah. Moga nanti, Allah sampaikan saya padanya.’’ (Qani’ah Syumaila)

Tersenyum sendiri aku membaca coretan itu. Ingin sekali aku menjadi sepertinya. Mudah-mudahan.

Jangan menjadikan fitrah sebagai fitnah. Fitrah adalah suci, sedangkan fitnah adalah sebaliknya. Cinta itu suci kerana ia tautan dua hati dan memberi ketenangan sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Rum 30:21 iaitu supaya kamu bersenang hati diengannya (dengan pasangan masing-masing).

Kata Ibnu Qayyimm Al-Jauziyah dalam  bukunya Raudhatul Muhibbin Wanuzhatul Musytaqin, cinta boleh lenyap dengan lenyapnya sebab.

Kerana sebab itu yang menyuburkan cinta. Tanpa sebab, cinta itu tidak mampu berdiri dengan sendiri.

Atas sebab yang bagaimana? Sebab yang membuatkan kita menyayangi seseorang itu. Tanpa sebab, tiadalah cinta. Tanpa cinta, maka mana mungkin fitrah manusia itu terlaksana?

Namun sejauhmana sebab itu membuatkan cinta itu suci sebenar-benarnya?

Adakah ia berasaskan sebab abadi atau hanya sebab sementara?

Apa sebab kita menyayangi seseorang?


‘Saya menyayangi dia kerana dia cantik/hensem..’

‘Saya menyayangi dia kerana dia kaya…’

‘Saya menyayangi dia kerana keturunannya yang dari golongan bangsawan…’

‘saya menyayanginya kerana populariti yang diraihnya..’

‘Saya menyayangi dia kerana akhlaknya..’

‘Saya menyayangi dia kerana agamanya dan bagaimana dia menjaga hubungannya dengan Tuhan..’


Semua orang mempunyai sebab kerana mencintai seseorang. Namun sejauh mana ia nya berlandaskan Tuhan?

Fikirkan. Jika cinta itu berlandaskan sebab sementara, bayangkan jika sebab itu sentiasa diburu waktu. Bayangkan betapa gundahnya hati kerana ia tidak kekal.

 Andai seorang  itu menyayangi pasangannya kerana rupa paras, jika melangkah ke usia emas, cinta itu mungkin pudar. Dek kerana wajah berkedut dan fizikal yang sudah tidak menarik lagi seperti dulu, hubungan itu menjadi hambar. Maka ramai mula risau akan perubahan diri. Sengaja mencari pelbagai cara untuk melambatkan proses penuaan dan mencari pusat-pusat pelangsingan badan semata-mata menambat hati pasangan. Adakalanya sehingga hampir meragut nyawa.

Namun, adakah ia menyumbang kepada kebahagiaan hakiki? Rasanya tidak. Lihatlah contoh sekeliling kita. Golongan artis misalnya. Mereka dikurniakan rupa paras yang menarik, bentuk badan menawan dan sentiasa mengenakan mekap hampir 24 jam non-stop semata-semata ingin kelihatan anggun dan menawan. Sehinggakan ada seorang artis yang kini bergelar janda mengaku bahawa sepanjang tempoh perkahwinannya dengan bekas suaminya, bekas suaminya tidak pernah melihat dia tidak mengenakan mekap hatta ketika bangun dari tidur. Means dia akan memastikan dia bangun terlebih dahulu semata-mata untuk bermekap dan memakai pakaian cantik-cantik. Namun akhirnya, mereka melalui proses penceraian juga akhirnya. Tapi bukankah dia selalu tampil cantik dan menarik? Apa punca penceraiannya? Bukankah lumrah manusia memang sukakan kecantikan?

Lihat juga model-model yang sentiasa mempamerkan aksi yang menarik perhatian lelaki. Dan akhirnya mereka ditinggalkan dan ada yang bergelar janda selepas itu, walaupun luarannya menampakkan mereka hampir perfect.  Mengenakan pakaian cantik, bedah itu ini di bahagian muka semata-mata mahu dikatakan cantik. Semuanya untuk menggoda iman kaum yang satu lagi. Bagi mereka penampilan luaran jauh lebih penting berbanding dalaman. Namun adakah ketertarikan itu adalah kekal selamanya? Bagaimana 20 atau 30 tahun akan datang? Adakah mereka masih lagi dapat mengekalkan rupa paras dan penampilan sebegitu?

Juga jika ia berlandaskan harta dan kekayaan. Boleh dijaminkah harta itu tidak akan habis? Bagaimana jika suatu hari nanti bila kita mendapati pasangan kita jauh muflis, tiada apa-apa yang mampu ditinggalkan melainkan hutang keliling pinggang, dan kita masih setia dengannya? Memberinya kata-kata semangat dan perangsang untuk membolehkannya berdiri kembali dan mengutip sisa kekuatan yang hampir hilang? Jika cinta itu hanya berlandaskan harta semata, adakah ia dijamin membawa bahagia hingga mati?

Jangan cuba menipu diri sendiri. Memang terkadang sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari memandang soal material dan fizikal seseorang. Tipulah jika dikatakan yang kita langsung tidak melihat itu semua. Andai tidak banyak, sedikit pun boleh jadi. Kerana memang kita sebagai manusia itu suka kepada sesuatu yang cantik dan menarik serta mengenepikan yang buruk.  Namun sejauh manakah kita menguruskan fitrah sedemikian? Adakah kerana ia lumrah menyebabkan kita turut hanyut tanpa cuba mengawal perasaan itu sendiri?

‘Saya jatuh cinta dengan senyuman awak. Dari dulu lagi saya suka tengok senyuman awak. Ia membuatkan saya jadi gila bayang dan tidak lena tidur..’



Tanyalah diri sendiri. Andai suatu hari jika senyuman itu hilang, yang ada hanya sebuah jasad yang terlantar koma tanpa sedarkan diri, muka yang pucat dengan keadaan diri tak terurus, yakinkah kita bahawa cinta itu makin bercambah? Mampukah kita menjamin hati sendiri bahawa hati tidak terdetik walau sedikit untuk mengatakan tidak? Bukankah perlahan-lahan ia akan pudar akhirnya? Dan barangkali tidak mustahil, ada insan lain yang juga memiliki senyuman itu menduduki hati untuk kali ke seterusnya.

Pengalaman aku sendiri? Setiap kali mengenali mana-mana lelaki, aku akan cuba menanyakan mereka beberapa soalan. Soalan untuk menguji. Ia biasanya dilakukan pada permulaan perkenalan. Sekadar untuk melihat reaksi.


Kenapa saya? Orang lain ramai lagi yang lebih hebat. Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana. Tiada apa yang menarik pun dari segi rupa paras mahupun latar belakang serta pengetahuan agama.’


Benar. Pengakuan itu memang terbit dari hati aku sendiri. Aku hanya seorang yang tidak mempunyai banyak kelebihan. Seorang yang cukup sederhana dan kadang kala seorang yang tegas dengan pandangan sendiri. Aku juga bukan dari keluarga yang kaya raya, masih dalam usaha memperlengkapkan diri dengan ilmu agama. Tiada kelebihan dari segi rupa paras. Namun aku punya prinsip tersendiri.

Dan biasanya jawapan mereka yang aku terima akan berupa begini,


‘saya suka awak sebab awak tinggi. Taste saya memang perempuan yang tinggi-tinggi. Macam awak la. hehe’

Saya suka awak sebab muka awak mengingatkan saya kepada seseorang’

‘saya suka awak sebab awak nampak garang tapi kelakar’

Saya suka awak sebab bla bla bla…

Dan lagi..

Dan lagi…


And yet, the cycles repeat.

Dan biasanya ketika mereka memberikan respon sebegitu, pantas akan ku tanyakan mereka kembali,


‘Jadi, kalau saya ni tak setinggi yang awak inginkan, saya ni bukan pilihan awak la kan?’

‘Macam mana kalau suatu hari nanti ada gadis yang jauh lebih gorgeous atau tinggi dari saya? Adakah awak akan kekal dengan saya atau mula berpaling arah?’

‘jika ditakdirkan wajah saya tidak tidak persis yang awak katakan, adakah cinta itu akan bersemi? Atau sebaliknya?’

‘kalau saya bukan saya yang dulu, adakah awak akan masih menerima saya?’


Tujahan demi tujahan soalan akan aku lemparkan. Semuanya demi mencari sebuah jawapan yang pasti. Sebuah kebenaran yang ingin sekali aku temui. Ia bukan soalan berupa prasangka. Apatah lagi untuk men’down’kan seseorang. Aku hanya inginkan kepastian dan reaksi jujur yang bakal keluar untuk ayat seterusnya.

Dan yang pastinya juga, kebanyakannya hanya terdiam tanpa kata. Kalau tidak pun hanya tertawa seolah-olah tidak mengambil serius.

Aku kecewa. Tapi sekurang-kurangnya, mereka jujur mengatakan. Setidak-tidaknya, aku tidak merasa tertipu.

Dan kemudiannya, pengakhirannya samada aku meninggalkan atau ditinggalkan. Menyesal? Tidak sama sekali. Allah lebih mengetahui.  

Ingin sekali aku berjumpa dengan lelaki yang memandang seseorang tanpa sebab luaran. Tanpa ada agenda tersembunyi dan andainya suatu hari nanti ketertarikan itu hilang, aku tidak akan ditinggalkan terkontang-kanting. Ditinggalkan bermakna aku akan dilupakan terus. Sedangkan sebagai hamba biasa, mana mungkin perasaan perit itu mampu terubat dalam waktu yang singkat. Aku hanya inginkan sebab yang membuatkan aku akan belajar untuk mengekalkan ‘sebab’ itu. Sebab yang memang ada pada setiap orang jika mereka ingin menggapainya, tanpa mengira rupa atau  keturunan. Suatu sebab yang abadi.

‘Saya suka awak tanpa sebab luaran. Orang melihat awak sebagai orang biasa sahaja. Tiada yang istimewa pun di mata yang lain. Hanya gadis biasa seperti kebanyakan. Tapi di mata saya awak adalah special. Awak adalah awak. Tiada yang lain. Dan andai suatu hari nanti terjadi apa-apa pada awak, kesetiaan saya Insyaallah akan semakin bercambah tanpa berkurang walau sedikit. Dan saya akan cuba pertahankan ia dari roboh dibawa badai.’


Ia agak mustahil. Kerana bagi aku lelaki sebegini hampir pupus. Atau mungkin tiada lagi menghuni di bumi ini. Yang ada hanyalah yang seperti kebanyakan; hanya memandang luaran tanpa sedikitpun memikirkan betapa dalaman itu jauh lebih aula. Hanya melihat pada penampilan dan hawa nafsu dan pada masa yang sama membayangkan orang lain serta membandingkan sesama sendiri. Pedihnya andai terpaksa melalui saat-saat itu. And I do not want to become the object of this cheap experiment.

Mungkin rasa kehampaan itu menyelinap sedikit sebanyak. Namun aku tahu, perjuangan itu tidak harus berhenti begitu. Kerana di pihak aku sendiri, banyak usaha yang perlu aku lakukan.

Aku sangat setuju dengan pernyataan ini.

‘Tidak perlu bersusah payah mencari calon yang soleh/solehah. Tapi perbaikilah diri terlebih dahulu. Amalkan ajaran yang diajar oleh Rasulullah. Insyaallah pasti Allah mengiringi rahmat dengan mengurniakan pasangan yang baik juga’.


Ia suatu proses yang tidak akan terhenti untuk bila-bila. Lebih-lebih lagi sebagai hamba yang a’asi, tetapi sebagai mukallaf yang ditaklifkan dengan tanggungjawab yang maha berat untuk dipikul sebagai khalifah umat, memandang hal ini ternyata tidak boleh dianggap enteng. Kerana jika ia dapat diuruskan sebaiknya, ia adalah jalan untuk menuju syurga.

Moga aku diberi lebih kekuatan dan ketabahan. Dan untuk yang lain juga.

Wednesday, 11 December 2013

Hargai masa perjalananmu

currently written by faie mohamad at Wednesday, December 11, 2013 1 criticisms

Life is strange. Aneh sekali hidup ini. Suatu ketika dulu ingin sekali aku menjadikan segalanya pantas berlalu, demi mencapai sebuah matlamat yang ingin sekali aku impikan. Ia bukan sekadar sebuah impian. Ia bukan sebuah khayalah yang sengaja dibuat-buat. Tetapi ia juga sebuah harapan. Harapan untuk aku dan yang lain. Dan ternyata ia hampir terlaksana.

Bila  aku melalui sesuatu keadaan mahupun transition sedari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, pantas aku terdetik di hati, wahai Tuhan, cepatkanlah ia berlalu. Aku mahu melalui keadaan yang lain pula. Aku ingin mencari momen lain yang lebih indah dan mendidik. Yang lebih mendewasakan aku. Yang lebih mencabar. Andai ada kuasa, ingin saja aku melompat satu persatu tanpa melalui semuanya. Melainkan momen itu adalah kenangan manis. Betul-betul manis sehingga aku tidak mahu masa itu bergerak even sesaat. Pelik.

Bila aku berada di alam persekolahan, ingin sekali aku merasai berada di alam universiti. Dan semasa di alam universiti, teringin pula mengecapi kehidupan sebagai seorang yang telah mempunyai kerja tetap dan mempunyai keluarga. Perasaan itu senantiasa bermain-main dalam fikiran, dan aku selalu membayangkan indahnya jika sudah mempunyai segalanya.

Namun bila ia semuanya berlalu, aku terpaksa mengakui sesuatu. Sesungguhnya aku sangat merindui momen-momen dulu yang menjadikan aku seperti sekarang. Andai ia diputar kembali tanpa sesaat memungkiri, ingin sekali aku melalui dan menelusuri detik tersebut, merakamnya dalam album kenangan, dan bergembira atas apa jua keadaan. Tanpa secalit garis duka di wajah. Juga tanpa segaris senyuman hipokrit yang menyembunyikan sengsara.

Saat aku menimba ilmu dan pengalaman di taman ilmu dan budi. Seawal first year lagi aku selalu berkata pada diri, pantaskan lah kamu wahai masa. Aku sudah tidak sabar mengenggam skrol ijazah. Aku tidak sabar berbakti pada keluargaku, merasai gaji pertamaku, berkhidmat pada anak bangsa, mempunyai keluarga sendiri, kereta sendiri, rumah sendiri dan kehidupan yang cukup lengkap. Cukuplah berbelas tahun aku bergelar pelajar. Sudah tiba masanya untuk berdiri di kaki sendiri dan mempunyai karier tetap. Tika itu segala jenis rintangan aku harungi. Aku mendepani cabaran dari pelbagai pihak. Kadangkala ia hanya disambut secara sambil lewa. Semuanya kerana inginkan supaya masa pantas berlalu. Ketidaksabaran menghabiskan pelajaran menghuni segenap pelosok diri. Ia bukan mudah. Namun dek kerana mahukan apa yang diingini, segalanya aku harungi dengan pasrah.

Dan bila ia berakhir, akhirnya aku mula menyedari akan sesuatu. Kerana terlalu inginkan segalanya cepat, bila sudah tiba pengakhirannya, aku terpaksa mengakui bahawa momen-momen itu tidak akan kembali lagi. Ia sudah berlalu pergi. Terlalu jauh sehingga tidak mampu dicapai. Meninggalkan aku dengan seribu kenangan.

Aku tidak menyesal. Jauh sekali terkilan kerana melakukan sebarang khilaf. Ia hanya sebuah kerinduan. Rindu pada kenangan dulu. Dan bila ia berlalu, hanya Tuhan sahaja tahu betapa aku merindui semua itu.

Tempoh 4 tahun lebih telah mempertemukan aku dengan pelbagai jenis golongan manusia. Dan mereka yang sempat menghuni dalam hati ini walau hanya seketika. Kalau dulu aku sangat mempertahankan prinsip hidup aku yang aku pegang dari sekolah menengah lagi; dia yang pertama aku sambut cintanya maka aku akan pastikan dialah pasangan aku dunia dan akhirat. Pasangan yang halal lagi diredhai. Namun tanpa ku sedari, prinsip itu tidak meletakkan ketentuan Tuhan sebagai yang utama. Siapa lah aku untuk menidakkan kuasa Tuhan. Dia yang Maha Mengetahui akan keperluan dan keinginan hambaNya seperti aku. Walau diuji dengan mereka yang ternyata mempunyai persamaan dari segi karakter setelah difikir secara mendalam even berlainan rupa, dari situ Allah telah membuka hijab tentang itu secara perlahan. Ada hikmahnya. Walaupun ia tidak lama, cukuplah aku menjadikannya sebuah perisai. Perisai untuk aku jika ia berulang untuk kali ke seterusnya.

Aku hanya manusia biasa yang tidak terlepas dari segala jenis perasaan yang membelenggu diri. Dan fitrah manusia, selalu inginkan keseronokan dan kegembiraan. Inginkan yang baik-baik sahaja. Andai ada kuasa yang boleh membuang rasa sedih atau derita, ingin sahaja dilemparkan sejauh mungkin. Sedalam yang boleh hingga tidak mampu terlihat oleh sesiapa. Namun itulah manusia. Dicipta dengan pelbagai jenis ujian dan bentuk. Agar mereka dapat merasakan apa itu pahit, agar dapat belajar dari kesalahan sendiri, dan yang paling utama, dapat merasakan dengan adanya kesusahan itu adanya Tuhan yang selalu membantu.

Justeru, apa sahaja keadaan yang mendiami diri, ingatlah satu perkara. Hargai lah momen yang ada itu sebaiknya. Nikmatilah ia dengan saat yang penuh kemanisan. Enjoy the journey of life that has been granted. Jangan mudah berasa bosan. Allah mengurniakan detik tersebut untuk membolehkan kita manusia saling menyayangi dan berkasih sayang. Do appreciate it. Jangan sampai menyesal kerana ia tidak mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Allah pemilik segala rahsia hati. 

                                                                                                                              


Monday, 9 December 2013

Kak Aufa my naqibah

currently written by faie mohamad at Monday, December 09, 2013 0 criticisms
Ini sebuah kisah. Kisah benar yang terjadi dalam hidup aku. Ia sebuah memori yang tak terpadam. Bahkan aku akan sentiasa merindui saat itu.

Teringat kembali memori ketika aku menjejakkan kaki ke universiti itu. Tatkala itu aku masih lagi naïf, belum lagi mengerti apa-apa tentang kehidupan seorang siswi yang bakal melangkah kealam dewasa. Segalanya menjadi satu; sedih, gembira, teruja bahkan tidak sabar untuk bergelar seorang pelajar universiti. Ingin sekali aku merasai pengalaman belajar di bilik kuliah, ke perpustakaan bersama  rakan, menyiapkan assignment dan presentation,berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, bahasa yang cukup asing untuk aku yang bergelar anak kampung. Segalanya masih baru untuk aku. Bukan senang untuk mengadjustkan diri, berkenalan dengan rakan-rakan yang berlainan negeri, bahkan bangsa dan warna kulit. Pengalaman berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris bersama kawan-kawan foreigner, suatu perkara yang cukup indah walaupun agak melucukan. Ia laksana ayam dan itik berbual sesama sendiri. Lain yang  dibicarakan lain yang difahami. Tapi itu lah, bila dikenang kembali ia seolah-olah semalam baru berlaku. Meskipun agak kecewa kerana tidak dapat masuk ke kuliah waktu semester pertama, Alhamdulillah sekurang-kurangnya ia mempertemukan aku dengan mereka yang cukup memahami dan  sporting. Allah Maha Besar.

Teringat juga semasa zaman first year dulu.  Akak study circle yang menjadi naqibah untuk halaqah 1 telah mempelawa aku join usrahnya bersama teman seperjuangannya. Usrah yang juga dipanggil bulatan gembira. Aku diperkenalkan dengan budaya baru; makan dalam satu talam berkongsi dengan beberapa rakan yang lain sambil menyuapkan makanan kepada orang sebelah, berkongsi cerita samada peribadi atau isu semasa kemudian membincangkan secara ilmiah melalui pengajaran-pengajaran yang mengandungi unsur tersirat, isu-isu semasa seperti perang di Iraq, Syria mahupun Palestin. Menariknya dalam ramai-ramai anggota usrah itu, aku yang menjadi perhatian kakak tersebut. Biarlah aku menamakan dia Kak Aufa. Usai kelas halaqah, Kak Aufa telah memanggil aku dan menyatakan hasrat dia untuk mengadakan usrah secara persendirian, yakni hanya aku dan dia. Dia juga selalu mencari aku untuk menyertai usrah sahabat-sahabatnya yang lain di sekitar SHAHS Mosque dan memperkenalkan aku kepada mereka. Mereka menyambut kedatanganku dengan penuh mesra dan sukacita. Sebagai seorang budak first year, mendapat peluang itu adalah ibarat suatu pengiktirafan. Seolah-olah aku terpilih dalam kalangan mereka yang lain oleh dia. Katanya, aku mempunyai potensi yang besar untuk menjadi naqibah sepertinya suatu hari nanti. Bahkan lebih hebat dari itu.  Aku hanya mampu tersengih, walhal dalam hati betapa aku yang hina ni tetiba dipandang sebegitu olehnya. Kalau lah dia tahu perangai gila-gila aku ni yang sebenar. Iskk

Saban hari pelbagai sms masuk dalam inbox handphone aku untuk sesi usrah. Adakalanya dia memberitahu aku supaya datang menemuinya di surau Asiah bagi membincangkan sesuatu isu. Hanya kami berdua. Kadangkala aku mempelawa rakan yang lain untuk menambah suasana. Dan memandangkan aku menetap di Mahalah Maryam waktu itu, aku menyatakan persetujuan.  Kalau tidak di Asiah sekalipun, dia sanggup datang dari Hafsah ke surah Maryam semata-mata untuk bertemu dengan aku. Isu yang dibincangkan banyak. Sangat banyak. Apa yang aku boleh simpulkan disini ialah rupanya terlalu banyak masalah umat yang aku langsung tidak ketahui. Tentang taktik atau strategi zionis dalam menghancurkan Islam. Kisah-kisah para sahabat yang belum pernah kedengaran dan kepentingan membaca buku yang menjadi tunjang kepada ilmu untuk sejagat. Dari situ aku disuruh membanyakkan pembacaan daripada menonton sebarang rancangan televisyen yang hanya mengandungi hiburan semata, bermuhasabah diri dan selalu bertafakur akan kebesaran Allah. Segala nasihatnya aku genggam. Aku semat dalam dada. Banyak rupanya yang aku belajar darinya. Syukur pada Tuhan.



Dalam diam aku amat mengagumi naqibah aku yang seorang ini. Walaupun hanya 2 bulan mengenalinya, aku dapat mentelaah perilaku serta karakter muslimah yang terselindung disebalik tudung labuhnya. Dia yang aku kenal seorang yang sangat sopan santun, penuh dengan sifat keibuan, nasihatnya ibarat seorang kakak kepada adik, penuh mendidik dalam kesantunan. Dan dia banyak sekali menasihati aku supaya menjaga perisai diri sebagai seorang muslimah yang sejati. Masih terngiang-ngiang di telinga ini tentang nasihatnya supaya menjauhi budaya couple, peka dengan isu ummat semasa, kisah para anbia yang memotivasikan serta banyak lagi. Juga nasihat supaya aku menggunakan peluang belajar di taman ilmu dan budi ini sebaiknya. Kalau boleh mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat luar akan apa yang aku pelajari samada secara langsung atau tidak langsung. Seandainya semua aku catit dalam buku nota, aku rasa boleh boleh dibukukan dan dijilid. Terlalu banyak. Dia menjadi idola aku waktu itu. Aku memikirkan alangkah bertuahnya lelaki yang memperisterikannya. Dengan kelembutan dan sifat solehahnya itu, pemuda mana yang tidak berkenan dan menyunting sebagai bidadari?

Namun, segalanya berubah sedikit demi sedikit bila aku mula melangkah ke tahun kedua. Waktu itu komitmen aku kepada kuliah dan aktiviti lain sangat tinggi. Assignment, presentation, menyiapkan report itu ini, belum lagi termasuk article review yang menjadi tugasan wajib untuk hampir setiap subjek. Padat memenuhi jadual harianku. Setiap sms yang dihantar olehnya kepadaku tidak aku hiraukan. Bahkan setiap kali dia call,aku akan menutup panggilan itu. Bagi aku, dia sangat membosankan dan tidak lain tidak bukan hanya mengajak aku menyertai usrah. Seolah-olah tiada benda lain yang perlu dibuat di dunia ini. Usrah, usrah, usrah. Aku seolah-olah muak dengan perkataan itu. Bukan aku membenci usrah tetapi kenapa selain usrah dia tidak mengajak aku menyertai aktiviti lain yang lebih menghiburkan tetapi dalam masa yang sama mempunyai nilai-nilai murni. Jungle trekking atau sukan misalnya. Waktu itu aku menerima hasutan dari syaitan yang tidak putus-putus memberikan gambaran buruk tentang dia. Segalanya bermula dengan satu kisah.

 Masih ku ingat tentang pertanyaanku kepada Kak Aufa tentang artikel mengenai pendapat seorang bekas Muslim yang membentangkan bukti serta hujah dia tentang hinanya Islam. Bagi aku artikel yang memburukkan Islam itu adalah sangat keji dan aku memerlukan penjelasan kukuh dari mereka yang arif untuk membalas balik hujah itu, meskipun ia hanya mampu terlontar jauh dari hati. Aku printkan artikel tersebut lantas menunjukkan kepadanya dan memintanya supaya mentakrifkan perihal tersebut dan menjelaskan secara terperinci tentang hujah yang boleh dibalas balik andai suatu hari nanti aku dipertemukan dengan orang seperti bekas Muslim terbabit. Namun apa yang mengecewakan, Kak Aufa tidak menjawab segala persoalan tersebut dan menyuruh aku membuangnya. Katanya perkara sebegini tidak perlu dibahaskan kerana memang benar Islam itu agama benar dan sudah ternyata bekas Muslim itu mahu memutarbelitkan fakta tentang kebenaran Islam.

Jawapan yang diterima agak menghampakan aku. Aku bukan mahu membenarkan artikel tersebut jauh sekali mempertikaikan tentang kebenaran Islam. Aku hanya mahukan sebuah jawapan dan solusi yang tepat dalam permasalahan ini. Bagi aku kalau dia tidak boleh menjawab tentang isi kandung artikel tersebut, dia tidak perlu memansuhkan dan menyingkirkannya terus. Siapa tahu selepas ini ada yang bertanyakan soalan yang sama? Pada aku usrah itu adalah untuk menjawab persoalan dan mengaitkannya dengan isu semasa disamping memberi gambaran tentang kebesaran Ilahi. Andai persoalan itu disingkirkan terus dan tidak mampu dijawab, apa gunanya lagi usrah tersebut?

Dari situ aku mula mencipta jurang dengannya. Aku jarang membalas sms nya yang mengajak aku berusrah seperti dahulu. Setiap kali dia menelefon, aku membiarkannya tidak berangkat. Aku tahu dia berkecil hati. Dia memendam rasa pada adiknya yang seorang ini. Baginya aku sudah berubah. Segala apa yang dinasihatinya suatu ketika dulu seolah-olah aku lupakan terus. Lontaran nasihat keibuan yang dulunya bertubi-tubi dilemparkan kepadaku seolah-olah terpadam sama sekali. Bicaranya yang dulu bagi aku penuh dengan kelembutan seolah-olah tidak kedengaran. Aku tidak membencinya  jauh sekali melupakannya. Cuma bagi aku waktu itu dia seorang yang syadid. Manakan tidak bila dia melihat kawan-kawanku yang berpakaian biasa, memakai jeans dan t-shirt, tidak seperti dirinya yang bertudung labuh dan berjubah, dia seolah-olah menunjukkan ekspresi yang tidak sepatutnya. Riak masam dan terus menundukkan diri sehingga mereka berkecil hati. Sekali lagi aku rasa tersinggung. Bagi aku dia tidak patut mempamerkan sifat sebegitu. Pada hemat aku, wajarkah orang sepertinya hanya bergaul dengan mereka yang berjubah or berniqab sahaja? Bagaimana dengan yang free hair, bertudung singkat atau bebas bersosial? Bagaimana nasib mereka nanti tanpa pentarbiahan yang secukupnya? Tidak berdosakah kita sebagai orang Islam membiarkan mereka terkapai-kapai sendiri?

Sekali lagi aku mula memandang enteng pada golongan sepertinya. Meskipun tidak semua yang berkelakuan sepertinya, bahkan dikalangan sahabatku masih ramai lagi yang bertudung labuh tetapi meraikan mereka yang bertudung biasa seperti kami dengan penuh rasa cinta dan kasih seperti saudara. Melayan kami seperti sahabat yang lain tanpa mencipta jurang yang tidak sepatutnya. Pada aku golongan sebegitu hanya syok sendiri. Mereka merasakan mereka telah solehah sepenuhnya dan dijamin mendapat syurga yang belum tentu layak diduduki. Walhal mereka langsung tidak menjaga hubungan yang baik sesama manusia, sesama akhawat yang wajib bagi mereka menyebarkan dakwah Islam. Hanya memandang orang lain sebelah mata dan merasakan diri mereka cukup bagus kerana sudah melaksanakan syariat Allah yang termaktub dalam surah An-Nur. Pada aku, Allah mungkin redha pada tatacara pemakaian mereka, tetapi mungkin tidak pada akhlak mereka. Titik.

Tempoh aku menjarakkan diri dengannya sangat lama. Sehinggalah dia grad ketika aku masuk tahun kedua, kami langsung tidak bersua muka. Sampai sekarang.  Walaupun jarak tempat kelahirannya tidak begitu jauh dengan tempat kediaman aku sekarang. Waktu itu aku tidak memikirkan tentang dia. Kadang-kala datang rindu bertamu untuk berusrah seperti dahulu. Berada dalam satu bulatan, membaca akhbar Islami yang diperolehi dari internet, mencari bahan bacaan tentang kisah para Rasul dan sahabat untuk dibentangkan, makan dalam satu talam yang dulunya agak janggal dan kekok bagi aku, serta menceritakan masalah peribadi kepada mereka. Seolah-olah aku didengari dan dihargai. Namun dek kerana ego, aku cuba menidakkan perasaan rindu itu sendiri. Bagi aku, baik aku mencari group usrah yang lain yang lebih terbuka mindanya dan lebih mendatangkan keseronokan kepada aku, sebagai seorang yang jahil mahu mendalami tentang Islam, agama yang menjadi peganganku sejak lahir.

Namun lama kelamaan bila aku sudah grad, setelah hampir tiga tahun, akhirnya aku mengaku yang aku sangat merindukan kakak aku yang seorang ini. Rindu akan nasihat yang penuh mendidik, setiap kata-katanya mampu meresap dalam segenap urat jiwa, rindu akan kelembutannya menasihati aku tentang itu ini walaupun sebelum ini kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Akhirnya aku sedar tentang semua ini. Bila aku bermuhasabah kembali, aku akhirnya sedar aku banyak berprasangka buruk dengannya. Setelah membaca artikel demi artikel dan termotivasi melalui pembacaan yang aku cari dari internet, akhirnya aku sedar akan sesuatu. Bukan dia sengaja tidak mahu membincangkan tentang artikel yang pernah ditunjukkan kepadanya. Mungkin dia ingin memberikan jawapan, cuma sebagai seorang Islam yang sedang dalam proses pencarian sebuah  ilmu, dia mungkin kekurangan pengetahuan tentang itu. Dia tidak berani membahaskan hukum. Bila diasak dengan hukum feqah terbabit dia tidak mahu mengambil risiko tersalah memberi hukum. Mungkin dia mengambil iktibar daripada kata-kata Ibnu Mas’ud:

‘Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya orang gila’

Dan mungkin ada sebabnya kenapa dia seolah-olah tidak menyukai sahabat-sahabatku. Walaupun dulu aku selalu mempersoalkan tentang itu, tetapi kemudian aku berfikir, mungkin dia tidak mahu aku terpengaruh dengan mereka. Cuma mulut tidak berani mengeluarkan sebarang kata. Cukup ia hanya terluah di dalam hati. Dan Alhamdulillah, mungkin kerana doa yang selalu dipanjatkan olehnya, aku kembali menyedari tentang hakikat itu. Ingin berjumpa dengannya seperti dahulu, aku malu. Seribu penyesalan datang menghantui. Sehingga saat ini.

Hanya doa yang mampu aku pinta agar andai suatu hari nanti aku bersua dengannya, aku mampu menjadi adik kebanggaannya. Walaupun aku banyak khilaf, kadangkala tersasar arah tujuan dek kerana tujuan hidup yang tidak berapa kukuh, aku berharap suatu hari nanti bila dipertemukan kembali dengannya, aku memandangnya dengan gembira dan mengucapkan terima kasih atas semua yang diajar olehnya. Aku banyak terhutang budi dengannya.

Ingin sekali aku mengungkapkan perkataan maaf kepadanya. Ingin sekali aku mengatakan kepada dia,

‘Kak Aufa, saya minta maaf. Selama ini saya kuat berprasangka terhadap kakak. Walhal kakak adalah insan mulia. Maafkan atas kekhilafan adikmu ini.’

Semoga dia sihat-sihat sahaja dan sejahtera selalu. Doa dipohon agar dia selalu berada didalam lindungan kerahmatan dan nur Ilahi yang sentiasa bersinar kepada hamba yang sentiasa ingin mencari cinta dan keredhaan Maha Pencipta.


 

She's Farihah Mohamad Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea