Wednesday, 11 December 2013

Hargai masa perjalananmu

currently written by faie mohamad at Wednesday, December 11, 2013

Life is strange. Aneh sekali hidup ini. Suatu ketika dulu ingin sekali aku menjadikan segalanya pantas berlalu, demi mencapai sebuah matlamat yang ingin sekali aku impikan. Ia bukan sekadar sebuah impian. Ia bukan sebuah khayalah yang sengaja dibuat-buat. Tetapi ia juga sebuah harapan. Harapan untuk aku dan yang lain. Dan ternyata ia hampir terlaksana.

Bila  aku melalui sesuatu keadaan mahupun transition sedari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, pantas aku terdetik di hati, wahai Tuhan, cepatkanlah ia berlalu. Aku mahu melalui keadaan yang lain pula. Aku ingin mencari momen lain yang lebih indah dan mendidik. Yang lebih mendewasakan aku. Yang lebih mencabar. Andai ada kuasa, ingin saja aku melompat satu persatu tanpa melalui semuanya. Melainkan momen itu adalah kenangan manis. Betul-betul manis sehingga aku tidak mahu masa itu bergerak even sesaat. Pelik.

Bila aku berada di alam persekolahan, ingin sekali aku merasai berada di alam universiti. Dan semasa di alam universiti, teringin pula mengecapi kehidupan sebagai seorang yang telah mempunyai kerja tetap dan mempunyai keluarga. Perasaan itu senantiasa bermain-main dalam fikiran, dan aku selalu membayangkan indahnya jika sudah mempunyai segalanya.

Namun bila ia semuanya berlalu, aku terpaksa mengakui sesuatu. Sesungguhnya aku sangat merindui momen-momen dulu yang menjadikan aku seperti sekarang. Andai ia diputar kembali tanpa sesaat memungkiri, ingin sekali aku melalui dan menelusuri detik tersebut, merakamnya dalam album kenangan, dan bergembira atas apa jua keadaan. Tanpa secalit garis duka di wajah. Juga tanpa segaris senyuman hipokrit yang menyembunyikan sengsara.

Saat aku menimba ilmu dan pengalaman di taman ilmu dan budi. Seawal first year lagi aku selalu berkata pada diri, pantaskan lah kamu wahai masa. Aku sudah tidak sabar mengenggam skrol ijazah. Aku tidak sabar berbakti pada keluargaku, merasai gaji pertamaku, berkhidmat pada anak bangsa, mempunyai keluarga sendiri, kereta sendiri, rumah sendiri dan kehidupan yang cukup lengkap. Cukuplah berbelas tahun aku bergelar pelajar. Sudah tiba masanya untuk berdiri di kaki sendiri dan mempunyai karier tetap. Tika itu segala jenis rintangan aku harungi. Aku mendepani cabaran dari pelbagai pihak. Kadangkala ia hanya disambut secara sambil lewa. Semuanya kerana inginkan supaya masa pantas berlalu. Ketidaksabaran menghabiskan pelajaran menghuni segenap pelosok diri. Ia bukan mudah. Namun dek kerana mahukan apa yang diingini, segalanya aku harungi dengan pasrah.

Dan bila ia berakhir, akhirnya aku mula menyedari akan sesuatu. Kerana terlalu inginkan segalanya cepat, bila sudah tiba pengakhirannya, aku terpaksa mengakui bahawa momen-momen itu tidak akan kembali lagi. Ia sudah berlalu pergi. Terlalu jauh sehingga tidak mampu dicapai. Meninggalkan aku dengan seribu kenangan.

Aku tidak menyesal. Jauh sekali terkilan kerana melakukan sebarang khilaf. Ia hanya sebuah kerinduan. Rindu pada kenangan dulu. Dan bila ia berlalu, hanya Tuhan sahaja tahu betapa aku merindui semua itu.

Tempoh 4 tahun lebih telah mempertemukan aku dengan pelbagai jenis golongan manusia. Dan mereka yang sempat menghuni dalam hati ini walau hanya seketika. Kalau dulu aku sangat mempertahankan prinsip hidup aku yang aku pegang dari sekolah menengah lagi; dia yang pertama aku sambut cintanya maka aku akan pastikan dialah pasangan aku dunia dan akhirat. Pasangan yang halal lagi diredhai. Namun tanpa ku sedari, prinsip itu tidak meletakkan ketentuan Tuhan sebagai yang utama. Siapa lah aku untuk menidakkan kuasa Tuhan. Dia yang Maha Mengetahui akan keperluan dan keinginan hambaNya seperti aku. Walau diuji dengan mereka yang ternyata mempunyai persamaan dari segi karakter setelah difikir secara mendalam even berlainan rupa, dari situ Allah telah membuka hijab tentang itu secara perlahan. Ada hikmahnya. Walaupun ia tidak lama, cukuplah aku menjadikannya sebuah perisai. Perisai untuk aku jika ia berulang untuk kali ke seterusnya.

Aku hanya manusia biasa yang tidak terlepas dari segala jenis perasaan yang membelenggu diri. Dan fitrah manusia, selalu inginkan keseronokan dan kegembiraan. Inginkan yang baik-baik sahaja. Andai ada kuasa yang boleh membuang rasa sedih atau derita, ingin sahaja dilemparkan sejauh mungkin. Sedalam yang boleh hingga tidak mampu terlihat oleh sesiapa. Namun itulah manusia. Dicipta dengan pelbagai jenis ujian dan bentuk. Agar mereka dapat merasakan apa itu pahit, agar dapat belajar dari kesalahan sendiri, dan yang paling utama, dapat merasakan dengan adanya kesusahan itu adanya Tuhan yang selalu membantu.

Justeru, apa sahaja keadaan yang mendiami diri, ingatlah satu perkara. Hargai lah momen yang ada itu sebaiknya. Nikmatilah ia dengan saat yang penuh kemanisan. Enjoy the journey of life that has been granted. Jangan mudah berasa bosan. Allah mengurniakan detik tersebut untuk membolehkan kita manusia saling menyayangi dan berkasih sayang. Do appreciate it. Jangan sampai menyesal kerana ia tidak mampu dimanfaatkan sebaiknya.

Allah pemilik segala rahsia hati. 

                                                                                                                              


1 criticisms:

nurains said...

cantiknyaa awak ni :) semoga dipermudahkan segala urusan ya :)

 

She's Farihah Mohamad Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea